Sunday, 22 February 2015

Murabbi Ummah


Bismillahirahmanirahim..


      Cuti semester tiba lagi. Selepas berhempas pulas mengharungi peperiksaan akhir dan kursus Bahasa Arab, akhirnya aku pulang ke kampung halaman yang sangat dirindui. Kampung selepas banjir tentunya agak berbeza dengan yang sebelumnya. 

    Aku berkira-kira. Apa yang aku hendak lakukan selama sebulan dirumah ? Ada segelintir kawanku yang berkerja. Aku ? Kerja bukanlah satu pilihan yang tepat. Fikirku. Aku merencana sesuatu. Mengingat kembali peristiwa banjir yang baru sahaja menimpa Malaysia amnya dan negeri kelahiranku, Kelantan khususnya membuatkanku meronta ingin turut menyertai sukarelawan membantu mangsa banjir. Namun, semuanya menemui jalan buntu.

      Tangan membelek gambar di dalam folder aplikasi whatsapp telefon jundiku. Melihat kawan-kawan yang bermusafir jauh merentas benua cukup membuatkan aku cemburu. Cemburu kerana mereka diberi peluang untuk menginsafi diri melihat kebesaran Allah di timur tengah. Diberi peluang untuk menambahkan pengetahuan. 

     Aku memujuk hati. Aku ada peluang yang lain untuk menambah pahala. Membantu kedua ibubapa dirumah merupakan kebajikan yang dikira oleh Allah. Sambil itu, aku menghabiskan beberapa buah buku yang baru dibeli sebelum semester baru dibuka,
     
    Selang beberapa hari, kawanku menghantar khidmat pesanan  ringkas (SMS) dan mengajakku untuk pergi ke Kelantan. Katanya mahu melawat kawan-kawan yang tinggal disana. Aku meminta pendapat dari Ummi dan Abah dan mereka memberikan lampu hijau dan memintaku untuk menjenguk atuk dan nenek disana. Aku terus bersetuju lantaran kerinduan yang amat kepada atuk dan nenek.

    Aku pulang ke Kelantan pada hari Selasa 10 Februari 2015 kerana lawatan kami bermula pada hari Jumaat nanti. Aku memberitahu kawanku bahawa aku berhasrat untuk bertemu Tuan Guru Nik Aziz tapi kawanku menyatakan susah sedikit kerana kesihatan Tuan Guru tidak mengizinkan. Aku terus menjawab, "Kita pergi tengok dari jauh pun takpe". Mereka semua bersetuju.


   Khamis, 12 Februari 2015, 9.30 malam, aku merebahkan diri lantaran badan meminta untuk direhatkan. Aku mencapai telefon bimbitkan dan membuka aplikasi whatsapp serta membalas beberapa mesej yang dirasakan penting serta membaca mesej dari group yang banyak.


9,39 malam

Dimaklumkan oleh sahabat di HUSM, situasi Tuan Guru Nik Aziz amat-amat kritikal sekarang ini. Pukul 8.30 malam dijangka akan dibawa pulang ke rumah. Doakan yang terbaik untuk Tok Guru.

Hati tidak putus mendoakan kesembuhan Tuan Guru kesayangan.

Selang beberapa saat..

Mendapat mesej, Tok Guru telah kembali ke rahmatullah.

Dalam hati masih lagi tidak putus berdoa dan berharap bahawa mesej itu adalah tidak benar lantaran sebelum ini ada juga manusia yang tidak bertanggungjawab yang membuat hebahan palsu seperti itu. Aku segera bertanya kepada beberapa kenalan untuk mendapatkan kesohihan berita tersebut. Berdebar-debar menunggu jawapan bak menunggu keputusan peminangan barangkali.

Dan.. Berita itu adalah benar.

Terkesima. Tak mampu untuk membalas. Mata tidak dapat menipu. Maniknya laju mengalir keluar tanpa diminta. Allah... 

  
    Malam itu, tidur bertemankan air mata, memikirkan apa yang akan terjadi nanti. Ilmu semakin diangkat. Yang tinggal hanyalah manusia yang pandai memutar belitkan hukum.

  Membuka akuan facebook, penuh halaman utama tentang berita sedih ini. Tak mampu untuk membaca. Air mata mengalir laju. Hati meronta-ronta untuk pergi ke Pulau Melaka. Namun, jawapan yang ku terima dari sahabat-sahabat amat mengecewakan. Jalan menuju ke sana sudah semakin sesak. Aku mengambil wuduk lantas menunaikan solat untuk menenangkan hati.

    Keesokannya, seusai subuh, aku berteleku, bagaimana aku harus ke sana ? Patutkah aku meredah seorang diri kesana ? Aku menghantar satu pesanan kepada sepupuku menyatakan hasratku dan jawapannya mengecewakan aku. Jalan susah ditutup. Betapa ramai yang memuliakan beliau. Insan yang disayangi semua lapisan masyarakat. Mungkin tidak ada rezekiku hari ini.

  Sepanjang hari aku menghadap television, mengikuti setiap peringkat pengebumian. Dari Astro Awani ke TV1 kemudian membuka laman sesawang kelantantv semata-mata untuk melihat idolaku ini untuk kali terakhir. Selepas zohor, aku menghadiahkan sedikit bacaan al-Quran kepada beliau. Sangat sukar untuk menghabiskan kerana dicampur dengan esakan kerinduan yang bakal ditanggung semua orang terutama isteri dan anak-anak beliau.


          Hari sabtu, kami merancang untuk melawat sekitar Kota Bharu dan aku terus mengajak sahabat-sahabatku untuk bersolat zohor di masjid Tok Guru.

“Kita pergi solat je. Saya teringin nak pergi ziarah. Dapat tgk isteri almarhum dari jauh pun takpe”.

Sahabat-sahabatku terus bersetuju. Alhamdulillah.

Tengahari itu, kami semua sampai ke Pulau Melaka. Dalam hati terus berdoa agar segalanya dipermudahkan. Ternyata, masih ramai yang datang menziarah dari jauh dan dekat.

Selepas solat zohor, air mata mengalir. Mengingatkan kembali kuliah-kuliah yang disampaikan oleh Tok Guru di masjid ini. Disini jugalah beliau menunaikan solat secara berjemaah yang diimamkan sendiri oleh beliau. Sungguh, Tok Guru merupakan pemimpin terbaik ! Sukarnya mencari pengganti. Masih terngiang-ngiang ucapannya agar memperjuangkan Islam.

Antara sebab aku memilih jalan ini adalah kerana mahu mengikuti beliau. Sayangnya kepada beliau hanya tuhan sahaja yang tahu.

“Unit amal kate, kalau nak jumpa Datin Sabariah, pukul 2.30 petang baru bukak”.

Aku hanya mengangguk. Terasa agak mustahil untukku berjumpanya.

“Kita melawat kubur nak ?” soal seorang sahabat.

“Inshaallah”, sahabat yang lain menjawab.

Aku hanya mendiamkan diri sambil berdoa agar semuanya dipermudahkan.
Kami turun daripada masjid. Aku menjenguk ke teratak hijau, kediaman almarhum, mana tahu jika ada peluang untukku. Ramai yang sudah sedia menunggu untuk masuk berjumpa dengan datin Sabariah. Pintu dibuka dan hanya dibenarkan beberapa orang sahaja untuk  masuk. Kecewa. Memang mustahil untukku berjumpa datin.

“Ramai orang lar, kene tunggu lama lagi” kata sahabatku.

Ini kerana, kami sebenarnya mahu memenuhi jemputan walimah di Pasir Mas.


Tiba-tiba pintu dibuka, aku terus berkata, “Saya nak masuk kejap je, nak ambik semangat dari jauh”, pintaku. Lalu aku terus meluru ke tangga, menunggu giliran. Dua orang sahabatku datang dan berkata, “saya pun nak masuk jugak, sebab tak tahu bila lagi dapat jumpa”. Aku tersenyum.

Lalu kami menyelit agar cepat dapat menatap wajah insan yang telah menjaga Tok Guru dengan baik.  Tidak disangka, Allah memudahkan. Hati berdebar.

“Nanti kalau dah masuk, salam tangan je dengan datin ya, jangan peluk, harap sangat sebab datin letih”, pesan unit amal kepada kami. Kami mengangguk. Simpati kepada datin terus menerpa lalu dipanjatkan doa agar datin sentiasa tabah dan kuat ! 

    
    Debaran terasa. Lalu dipanjatkan doa agar dipermudahkan segalanya. Kaki melangkah masuk ke dalam mahligai indah milik almarhum. Jujur aku katakan, itu adalah kali pertama aku diberi peluang untuk merasai haruman teratak syurga  mereka sekeluarga.


    Dari jauh aku sudah melihat senyuman tabah yang dilemparkan kepada kami, para tetamunya. Aku yakin, senyuman itulah yang menyejukkan hati, penenang jiwa buat tok guru dikala dirinya difitnah dan ditomah. Manis. Masih cantik seperti dulu. 


    "Assalamualaikum", sapaku ketika bersalam dengan beliau. Mencium tangan beliau. Sebak terasa. Senyuman tidak lekang dari bibirnya. Kagum !


    Seusai bergambar, kami bersalaman dan aku melangkah keluar bersama semangat yang mengalir dari tubuhnya. Senyum. 


     Kami juga sempat menziarahi kubur tok guru. Ternyata masih ramai yang datang mendoakan almarhum. Datang dari serata negeri. Aku kagum. 


  "Ya Allah, kumpulkan kami nanti bersama mereka disyurga kelak. Aku sangat menyanyangi mereka, ulamak."


Itulah kematian yang mengidupkan. 


Semoga aku juga akan berakhir dengan husnul khatimah. Sebagai syuhada' ! Puas ^^








No comments:

Post a Comment